Kerajaan Sarawak paling stabil, kata Abang Johari

Abang Johari berucap di Majlis Pecah Tanah Vista Perdana Fasa 3 di Miri. Foto kredit: Ukas

KUCHING, 24 Nov: Kerajaan Sarawak merupakan kerajaan paling stabil dan ia harus dipelihara demi kesejahteraan rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berucap pada Majlis Pecah Tanah Vista Perdana Fasa 3 di Miri hari ini, beliau mahukan kekukuhan kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini tidak dirosakkan.

“Pemimpin-pemimpin kita datang dan pergi, dari era Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke era Pehin Sri Adenan Satem.


“Sekarang saya dibantu oleh Datuk Amar Douglas Uggah, Datuk Amar Awang Tengah, Datuk Dr Sim Kui Hian dan yang lain bekerja di dalam satu pasukan.

“Kita menggunakan pasukan ‘ngap sayot’ ini untuk membangunkan Sarawak,” katanya.

Menurut Abang Johari lagi, kerajaan negeri pimpinan GPS berkehendakkan kerajaan persekutuan yang stabil di peringkat persekutuan.

Justeru katanya, GPS sentiasa menyokong pemimpin yang komited seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri beberapa tahun lalu.

“Apabila kerajaan kita manghadapi masalah di peringkat pusat, kita ambil pendirian bahawa Sarawak berkehendakkan kerajaan persekutuan yang kuat.

“Saya di Sungai Asap, orang mencari saya siapa disokong diantara Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin kerana nombor tak cukup.

“Akhirnya GPS kata demi rakyat Malaysia kita berkehendakkan Muhyiddin sebagai perdana menteri,’ Ujar Abang Johari.

Tambah beliau, masalah tidak berakhir dan pada dua bulan yang lepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri untuk menstabilkan negara.

Jelas Abang Johari, rakyat sudah jemu dan ia mungkin faktor kepada keputusan pilihanraya negeri Melaka baru-baru ini.

“Rakyat berkehendakkan kerajaan yang stabil, maka Melaka menghantar mesej kepada kita.

“Kedua jangan ada budaya katak, orang tidak mahu,” tegas beliau.

Pada majlis yang sama, beliau mengingatkan rakyat agar tidak memilih kerajaan yang telah berkuasa selama 22 bulan satu ketika dahulu.

Kerajaan 22 bulan itu katanya telah membatalkan banyak projek pembangunan di Sarawak.

“Semua projek kita dibatal, projek jambatan dibatal, sekolah daif bayar dahulu kata menteri kewangan ketika itu.

“Bayar dahulu hutang, OK la saya bayar RM1 bilion demi rakyat demi sekolah daif. Selepas itu tidak dilaksanakan dan saya marah.

“Oleh itu, apa yang berlaku selama 22 bulan jangan pisang berbuah 2 kali. Ingat kita apa yang berlaku, biarlah kita Sarawak jaga Sarawak,” tegas Abang Johari. — DayakDaily