Chong bertanggungjawab bawa isu banjir di Parlimen, jangan berucap sesingkat 20 saat

Lo Khere Chiang

Oleh Chris Bishop

KOTA PADAWAN, 3 Mac: Adun Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang menggesa Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen memohon peruntukan kewangan dari kerajaan pusat bagi menyelesaikan masalah banjir di negeri ini.

Kata Lo, isu banjir adalah di bawah bidang kuasa bersama semasa penubuhan negara menerusi Perjanjian Malaysia 1963.


“Dalam bidang kuasa bersama ini, kerajaan pusat bertanggunjawab bagi menanggung setengah atau lebih daripada kos projek mengatasi banjir.

“Mengapa saya kata lebih, sebab kerajaan pusat mengutip lebih RM80 bilion setahun dari hasil minyak Sarawak.

“Isu banjir bukan boleh diselesaikan dengan RM1 atau RM2, ia memerlukan kewangan yang besar.

“Sebagai contoh Kampung Kuap di Batu 10 memerlukan RM400 juta bagi projek mengatasi banjir,” katanya ketika ditemui di Program Penyerahan Bakul Makanan di Kota Padawan hari ini.

Chong pada semalam mengkritik Pengerusi SUPP yang juga Adun Batu Kawa Datuk Amar Dr Sim Kui Hian kerana gagal menyelesaikan masalah banjir di kawasannya.

Menurut Lo lagi, projek mengatasi banjir memerlukan satu kajian menyeluruh sebelum pelan dan rekaan disediakan.

Katanya, kelulusan bagi setiap projek dibuat oleh kerajaan pusat dan ia adalah tanggungjawab Chong sebagai ahli parlimen daripada Sarawak.

“Semasa sidang parlimen baru-baru ini, Chong hanya berucap sesingkat 20 saat.

“Adakah ucapan 20 saat ini boleh menyelesaikan masalah banjir di seluruh Sarawak.

“Chong merupakan Pengerusi DAP Sarawak, dan beliau seharusnya membawa isu ini di parlimen,” tegas Lo.

Tambah Lo, pihak berkuasa tempatan di Sarawak tidak memiliki kewangan yang besar bagi menanggung kos projek banjir.

Justeru katanya, Chong seharusnya memohon peruntukan daripada kerajaan pusat.

“Jika kerajaan pusat mengembalikan RM80 bilion, kita boleh selesaikan masalah banjir ini sendiri.

“Namun sebaliknya berlaku, kita beri RM80 bilion kepada kerajaan pusat, dan sekarang Malaysia berhutang RM1.7 trilion.

“Seluruh rakyat Sarawak sangat kecewa dengan beban hutang ini,” kata Lo. — DayakDaily