Buah dabai dari Asajaya semakin menarik perhatian orang ramai

Buah dabai yang dijual oleh Jeffery Tungkat, 30, dari Kampung Senangeh.

ASAJAYA, Dis 27: Buah dabai dari Sibu yang mendapat permintaan tinggi dari penduduk negeri ini pada musimnya ketika ini juga sudah mula ditanam dan buahnya dijual kalangan petani di kawasan Asajaya di Bahagian Samarahan.

Antara mereka ialah Jeffery Tungkat, 30, dari Kampung Senangeh, Asajaya yang kini mampu memperolehi sehingga RM300 sehari dengan menjual buah dabai yang sudah masak dengan lebat dan sedang gugur dari pokok-pokoknya sekitar kampung itu.

“Pokok dabai di kampung saya pertama kali berbuah pada musimnya tahun ini, sehingga saya dan isteri mampu mengutip sehingga sebanyak 30 kilogram buah tersebut setiap hari untuk dijual,” katanya.


Penduduk Kampung Senangeh mengutip buah dabai yang sudah masak dan gugur di kampung tersebut.
Antara pokok dabai yang pertama kali berbuah di Kampung Senangeh.

Jeffrey berkata buah dabai yang dijualnya pada harga RM10 sekilogram biasanya 30 kilogram dengan mudah habis dijual dalam sehari kepada penduduk kampung dan orang ramai yang melalui kampung itu yang terletak berhampiran Jambatan Batang Sadong.

Beliau berkata ramai rakan-rakannya dan penduduk kampungnya juga sudah menempah buah dabai yang ditanam di kampung itu apabila menghebohkan jualannya dalam laman sosial baru-baru ini, malahan ada yang sudah menempah buah itu bagi musimnya tahun hadapan.

“Permintaan terhadap buah dabai dari Asajaya amat tinggi pada musimnya ketika ini, tetapi bagaimanapun tidak banyak pokok dabai ditanam di kampung saya, jadi kemungkinan bekalan buah itu tahun ini mencukupi bagi memenuhi permintaan orang kampung ini sahaja,” katanya. — DayakDaily