Bot tunda, tongkang bawa muatan berduti tanpa dokumen sah ditahan di Bintulu

Bot tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.

BINTULU, 28 Jan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda berserta tongkang disyaki menggunakan dokumen yang telah tamat tempoh pada jarak lebih kurang satu batu nautika dari muara Sungai Kemena Bintulu, semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda tersebut dikesan sedang menunda sebuah tongkang bermuatan disyaki “Quarry Sand” di lokasi tersebut sekitar jam lebih kurang 4.05 petang semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan dan geledah mendapati bot tunda dan tongkang tersebut berlayar dari Kuching menuju ke Bintulu dan disyaki beroperasi tanpa menggunakan dokumen kebenaran membawa barang berduti serta borang perlepasan pelabuhan yang telah tamat tempoh.

“Terdapat muatan bercukai yang disyaki ‘Quarry Sand’ berjumlah lebih kurang 2,800 metrik tan berada di atas tongkang semasa diperiksa.

“Empat kru bot tunda ditahan termasuk nakhoda terdiri dari seorang lelaki warga tempatan, dua lelaki warga India dan seorang lelaki warga Indonesia.

“Manakala tongkang pula dikendalikan dua kru terdiri dari seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kesemua kru bot tunda dan tongkang termasuk nakhoda berumur lingkungan 27 hingga 57 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap turut ditahan bagi membantu siasatan.

Tangkapan dan rampasan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu bagi siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah. — Dayakdaily