Bomba Sarawak tubuh Unit Dron

Khirudin turut diberikan tunjuk ajar menerbangkan dron.

KUCHING, 6 Nov: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menubuhkan Unit Dron bagi kemudahan pemantauan terutama di kawasan berisiko.

Pengarahnya Datu Khirudin Drahman berkata unit tersebut nanti juga akan membantu dalam sebarang operasi terutamanya mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, dengan adanya unit dron juga diharapkan dapat mempercepat dan memudahkan operasi kerana adanya pemantauan dari udara.


“Kejayaan sesuatu operasi adalah bergantung dengan kecepatan kita bertindak, oleh itu dengan adanya unit dron ini nanti akan dapat memudahkan operasi kerana pemantauan dari udara dapat segera dilakukan.

“Unit Dron ini nanti juga akan digunakan memantau terlebih dahulu kawasan-kawasan yang sukar dipergi dan adanya kehadiran binatang buas, misalnya di sungai-sungai yang dikhuatiri ada buaya.

“Jadi unit dron kita akan bertindak dahulu, sama ada untuk membuat hebahan atau memberi amaran kepada anggota kita atau penduduk di kawasan tersebut,” katanya semasa berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan Kursus Certified Drone Operation Proficient.

Beliau dalam majlis tersebut juga merasmikan Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak.

Seramai 21 orang pegawai bomba dari seluruh Sarawak telah menghadiri kursus yang diadakan selama lima hari tersebut bertempat di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak.

“Diharapkan melalui krusus ini, pegawai dan anggota akan lebih memahami akan fungsi dan cara pengendalian dron.

“Minat juga adalah faktor utama untuk menjayakan lagi unit ini kerana tanpa minat memang susah kita hendak faham akan selok belok pengoperasian dron ini,” katanya.

Kursus tersebut telah dianjurkan dengan kolaborasi di antara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak dan Kuching Skills College.

Majlis perasmian hari ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kuching Skills College Novert Sulang Douglas Sullang dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Henderi Ardimansyah. — DayakDaily