Bom lama tinggalan Perang Dunia Ke-2 ditemui di pantai Tanjong Lobang

Anggota polis kelihatan berada di kawasan melakukan pemeriksaan ke aras objek tersebut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Jan: Sebutir objek menyerupai bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua  ditemui di pantai Tanjong Lobang di sini tengahari tadi.

Bom dengan anggaran berat lebih 200 kilogram itu ditemui kira-kira 100 meter dari lokasi kawasan rekreasi Tanjong Lobang dengan sebahagian besar bom berkenaan tertanam di dalam pasir pantai.


Objek menyerupai bom ditemui di Pantai Tanjong Lobang.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, berkata bertindak atas laporan yang dibuat selepas penemuan dibuat sekitar jam 1.30 petang hari ini, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Miri (IPD Miri) bersama anggota unit Pemusnah Bom bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.

Penemuan dibuat seorang lelaki warga tempatan, Bujang Julaihi, 49, yang juga ahli unit rondaan Jawatankuasa Penduduk (JKP) yang kebetulan berjalan di kawasan berkenaan.

“Waktu itu, selepas berjalan di sekitar kawasan berkenaan, saya terasa hendak membuang air kecil, tiba-tiba semasa melalui lokasi terbabit, saya terlihat satu objek mencurigakan dan menyerupai sebutir bom,” ujar Bujang ketika ditemui.

Bujang membuat penemuan tersebut ketika berjalan di pantai Tanjong Lobang.

Beliau kemudian segera melaporkan penemuan kepada pihak polis.

Susulan itu, Hakema berkata polis mengambil langkah keselamatan dengan membuat kawalan di sekeliling objek yang ditemui dan dipasang pita keselamatan.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis masih belum dapat mengeluarkan objek tersebut kerana air pasang.

“Anggota kita masih di lokasi dan kerja-kerja mengeluarkan objek tersebut belum dapat kita lakukan kerana keadaan air pasang dan hujan,” katanya.