Bersatu Sarawak: Hentikan provokasi isu peralihan kuasa

Jaziri (duduk dua kiri) pada Mesyuarat Ketua Penerangan Bahagian-Bahagian Bersatu Sarawak.

KUCHING, 23 Feb: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak meminta semua pihak berhenti berbalah dan provokasi tentang isu peralihan kuasa melibatkan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sarawak, Jaziri Alkaf A Suffian, berkata agenda memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat adalah lebih penting.

“Bersandarkan penerangan yang dijelaskan oleh Tun Dr Mahathir pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kelmarin, ia sudah cukup untuk menjawab segala isu berkaitan peralihan kuasa antara beliau dan presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Tun Dr Mahathir juga menjelaskan bahawa segala keputusan telah diserahkan kepada beliau dan apa yang diputuskan beliau akan dituruti oleh pimpinan PH,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah Jaziri, Dr Mahathir juga menjelaskan peralihan akan berlaku selepas Persidangan APEC tetapi tiada tarikh yang ditetapkan.

Malah katanya, perdana menteri telah menjelaskan beliau yang akan tentukan sama ada nak lepas atau tidak.

Justeru, Jaziri berpendapat adalah lebih baik PH fokus memberi khidmat kepada rakyat yang kini semakin terhimpit akibat kekangan ekonomi yang berlaku ketika ini.

“Hentikan politik yang keterlaluan dan mempunyai kepentingan peribadi kerana rakyat sudah bosan dengan agenda sedemikian,” ujar beliau.

Semalam, Jaziri telah mempengerusikan Mesyuarat Ketua Penerangan Bahagian-Bahagian Bersatu Sarawak.

Menurut beliau, mesyuarat menilai kekuatan dan potensi parti dan calon secara keseluruhan dan bersedia untuk meletak calon yang berkaliber serta berkemampuan untuk menang bersama komponen lain dalam PH.

Katanya, Dr Mahathir sudah pun memberi indikasi mungkin selepas berakhirnya pemilihan parti Bersatu nanti, Sarawak akan menjadi tumpuan berikutan kemungkinan PRN akan berlangsung.

“Pihak Bersatu Sarawak juga akan mengemukakan calon pada kerusi yang dirasakan bersesuaian kepada Dr Mahathir dan presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kata putus adalah terletak di tangan mereka,” katanya lagi. — DayakDaily