Armada Bersatu Sarawak mempertahankan kepentingan Tun M daripada sebarang ancaman

Alexander (empat kanan) bersama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUCHING, 23 Feb: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak akan mempertahankan kepentingan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Ketua Armada, Alexander Frusis, berkata ia termasuk sebarang gerakan untuk mendesak Tun Dr Mahathir menyerahkan jawatannnya.

“Timbul desas desus yang menyatakan bahawa satu gerakan akan dimobilisasikan oleh kumpulan pro Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendesak Tun Dr Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.


“Armada Sarawak berpendapat ia adalah langkah yang tidak bijak dan dikhuatiri akan menjejaskan tahap keselamatan negara serta kepercayaan pelabur asing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Alexander menegaskan bahawa sebarang ancaman yang melibatkan kepentingan Dr Mahathir sama ada di peringkat nasional mahupun negeri ini, Armada Sarawak bersedia mempertahankan perdana menteri.

Menurut beliau lagi, Armada Sarawak mengambil maklum perkembangan terkini keputusan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini.

“Armada Sarawak berpendapat bahawa untuk mengekalkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan terus menerajui pentadbiran negara adalah keputusan yang amat tepat sama sekali,” ujar Alexdander.

Dr Mahathir, dalam sidang media selesai mesyuarat, berkata segala keputusan berhubung peralihan kuasa telah diserahkan kepada beliau dan apa yang diputuskan beliau akan dituruti oleh pimpinan Pakatan Harapan.

Menurut beliau, peralihan akan berlaku selepas Persidangan APEC tetapi tiada tarikh yang ditetapkan selain menjelaskan beliau yang akan tentukan sama ada nak lepas atau tidak. — DayakDaily