Bersatu Sarawak fokus bantu Pakatan Harapan menang PRN12

Jaziri (duduk tengah) pada Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri di Kuching.

KUCHING, 12 Jan: Ketua badan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berkata sebahagian besar daripada peruntukan parti akan ditumpukan kepada pacuan untuk memenangi Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12).

Menerusi kenyataan media semalam, Jaziri menegaskan ia adalah antara fokus Pelan Tindakan Bersatu Sarawak.

“Di samping itu, beberapa perbincangan akan diadakan dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) tentang pengagihan kerusi untuk menghadapi PRN12.


“Walaupun Bersatu Sarawak merupakan anggota terbaru dalam PH negeri, kami akan bertindak seiring dengan matlamat besar PH,” ujar beliau.

Semalam, Bersatu Sarawak turut mengadakan Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) Kedua yang dipengerusikan oleh Jaziri.

Menurutnya, tiga agenda utama Bersatu telah dibincangkan pada mesyuarat itu. Ia merangkumi bidang pendidikan, sosioekonomi dan pembangunan luar bandar.

Tambah beliau, Bersatu Sarawak pada 2019 telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti seperti Program Khidmat Masyarakat dan mensantuni penduduk tempatan melalui Walkabout, Randau, Jalinan Kasih dan Bantuan Bencana Bersatu ke bahagian-bahagian di seluruh Sarawak.

“Semua aktiviti ini telah banyak membantu dalam mengenalpasti permasalahan dan mencorak fokus Bersatu Sarawak dalam memperjuangkan tiga agenda di atas,” ujar beliau. — DayakDaily