Selaraskan irama zikir bersesuaian dengan budaya Sarawak, gesa Abang Johari

Abang Johari (lima kanan) menyampaikan anugerah penghargaan Ikon Guru Zikir kepada Morni.

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 12 Jan: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggesa persatuan zikir di negeri ini untuk menyelaraskan irama zikir.

Katanya, paling penting irama zikir hendaklah bersesuaian dengan Sarawak terutama budaya masyarakat Melayu.

“Zikir adalah budaya kita di Sarawak, dan ia mengeratkan silaturrahim di antara kita. Hanya kadang-kadang irama zikir ini berbeza di setiap bahagian kerana mengikut gurunya.

“Maka saya fikir, persatuan hendaklah melihat, seboleh-bolehnya diselaraskan irama zikir ini bersesuaian dengan budaya Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhuimpunan Marhaban Perdana 2020 dan Kenduri Rakyat Persatuan Berzanji Negeri Sarawak di Dewan Suarah Kota Samarahan hari ini.

Tambah beliau lagi, sebutan pada lagu zikir hendaklah betul untuk mengelakkan ia dari membawa maksud yang lain.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan kerajaan negeri akan sentiasa menyokong aktiviti zikir.

“Di peringkat daerah, wakil rakyat kita juga boleh membantu terutama dalam penganjuran pertandingan zikir dan aktiviti budaya yang lain,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyampaikan anugerah penghargaan kepada tokoh-tokoh yang terlibat secara aktif dalam zikir.

Morni Suut telah dipilih sebagai penerima Ikon Guru Zikir Samarahan sementara Penghulu Mahdi Johari dipilih sebagai penghulu yang aktif memimpin kumpulan Zikir.

Manakala Majenah Fauzi menerima anugerah penghargaan sebagai guru wanita yang aktif memimpin kumpulan wanita kampung dalam aktiviti zikir.

Zamri Glas pula dipilih menerima anugerah guru aktif dalam memimpin anak muda mempelajari zikir.

Majlis telah menghimpunkan 130 kumpulan zikir di sekitar Kota Samarahan dan Kuching. — DayakDaily