Berang bunyi bising motosikal, lelaki tumbuk pemuda umur 19 tahun

Suspek (depan tengah) ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 17 Sept: Berang gara-gara bunyi bising sebuah motosikal, seorang lelaki warga tempatan telah bertindak menumbuk muka seorang pemuda dalam kejadian yang dilaporkan berlaku tengah malam Rabu (15 Sept).

Difahamkan, kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran sebuah hotel murah di Jalan Nakhoda Gampar sekitar jam 12 tengah malam.

Susulan kejadian, bertindak daripada laporan mangsa berusia 19 tahun itu, polis telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, suspek berusia 26 tahun itu telah ditahan sekitar jam 9.20 malam Khamis (16 Sept) oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas suspek tidak berpuas hati dengan bunyi motorsikal milik rakan mangsa.

Sebelum kejadian, mangsa dan rakannya telah berhenti rehat di tepi jalan kerana hujan lebat sebelum mereka didatangi suspek yang bertindak menumbuk mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — Dayakdaily