Pemuda tersilap rumah buat ugutan jenayah guna parang ditahan polis

Suspek (empat dari kiri barisan hadapan) ditahan polis untuk tindakan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 10 Sept: Padah mengamuk tersilap rumah menggunakan sebilah parang, seorang pemuda ditahan polis untuk siasatan lanjut pada petang Jumaat.

Semasa tangkapan, polis turut merampas sebilah parang berukuran 70cm dan kapak (66cm) daripada suspek berusia 45 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar  jam tiga petang semalam di sebuah rumah di Kampung Luak.

Dalam kejadian pada malam Rabu (8 Sept) itu, sekitar jam tujuh malam, suspek telah datang kesebuah rumah di Kampung Luak Bay dengan membawa sebilah parang sambil berteriak.

Tindakan lelaki tersebut telah mengemparkan isu rumah terbabit yang langsung tidak mengenalinya.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat mangsa kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily