Tidak serik, pemuda punya 3 rekod jenayah disyaki larikan motosikal ditahan polis

Suspek (dua dari kiri) ditahan polis di kawasan Boulevard Commercial Centre petang Khamis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Okt: Seorang pemuda yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan pecah rumah dan curi ditahan polis petang semalam bersama sebuah motosikal disyaki telah dicuri.

Penahanan suspek berusia 21 tahun itu bersama motorsikal jenis Yamaha Lagenda 110z berwarna hitam itu merupakan hasil maklumat yang disalurkan orang awam kepada pihak polis.


Tangkapan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 4 petang berhadapan sebuah premis farmasi di Jalan Boulevard, Boulevard Commercial Centre, sebaik sahaja menerima maklumat keberadaan suspek di lokasi.

Difahamkan motosikal tersebut telah dilaporkan hilang sebaik sahaja diletakkan di bahu jalan berhampiran sebuah kebun di Jalan Simpang Mamut, Jalan Persekutuan Miri-Bintulu sekitar jam 8 pagi hari yang sama (Khamis).

Satu laporan polis telah dibuat pemilik motosikal terbabit sebaik sahaja menyedari ia telah hilang.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan menerima laporan tersebut. — Dayakdaily