KUCHING, 10 Julai: Sebuah bengkel kereta di Jalan Batu Kawa-Kuching, terbakar menyebabkan lima buah kereta di dalamnya turut terbakar hari ini.
Difahamkan, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 6.55 pagi dan seramai lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Tahir Tuah bersama anggota EMRS terus ke lokasi kejadian.
Setiba di lokasi kejadian, Komander Operasi melaporkan bengkel tersebut telah terbakar 20 peratus.
“Selain itu turut terbakar adalah lima buah kereta, dua buah terbakar 70 peratus, manakala tiga lagi terbakar 50 peratus,” kata jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba.
Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.57 pagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily