Warga emas hilang sejak Selasa ditemui selamat di Kanowit

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat.

KANOWIT, 10 Julai: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menghantar makanan kepada isterinya sejak Selasa (6 Julai) lalu ditemui selamat hari ini.

Mangsa Singwa Ngap, berusia 66 tahun, ditemui selamat oleh penduduk kampung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sekitar jam 7.45 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba berkata lokasi penemuan mangsa adalah di kawasan rumah panjang Tuai Rumah Inyang iaitu kira-kira 9 kilometer dari rumah mangsa di Rumah Tanjung Sg Ranan.


Mangsa yang dalam keadaan lemah telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjut.

Operasi SAR yang memasuki hari ketiga hari ini ditamatkan sepenuhnya.

Mangsa menurut laporan sebelum ini dikatakan tidak pulang selepas keluar menghantar makanan kepada isterinya di sebuah ladang sawit berdekatan.

Bagaimanapun, mangsa yang mengidap lumpuh sebelah tangan dan penyakit sawan itu dikatakan tidak pulang-pulang selepas itu.

Laporan kehilangan mangsa dibuat pada hari Rabu apabila usaha mencari mangsa masih tidak berjaya.

Operasi SAR yang turut disertai polis dan penduduk kampung dilancarkan selepas itu. — DayakDaily