Operasi hari ke-11: Hampir 50% kawasan terbakar sudah berjaya dipadam

Pasukan operasi menggunakan jengkaut untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Mei 18: Kira-kira seluas 0.7 daripada 1.5 ekar kawasan tapak pelupusan sampah yang terbakar di Tanjung Kidurong berjaya dipadam setakat ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah itu sudah memasuki hari ke-11.


Jelasnya, operasi pemadaman diteruskan sekitar pukul 9 pagi dibantu beberapa agensi yang terlibat di dua pusat kepala api dan kedalaman yang terbakar anggaran 30 hingga 40 meter.

Operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah.

“Tiga buah jengkaut telah digunakan bagi mengorek beberapa lubang untuk memudahkan air menyerap terus ke dalam timbunan sampah yang terbakar. Luas kawasan yang terbakar anggaran dalam 1.5 ekar dan yang berjaya dipadam sehingga kini 0.7 ekar,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, satu jawatankuasa khas telah diwujudkan dan dipengerusikan oleh Residen Bintulu.

“Maklumat tambahan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily