Bekalan eletrik 4 premis disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen dipotong

Premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen telah dipotong bekalan elektrik

KUCHING, 5 Nov: Sebanyak empat premis terdiri daripada kedai runcit dan rumah persendirian yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen dipotong bekalan elektrik, hari ini.

Operasi bersepadu oleh bahagian siasatan jenayah ibu pejabat daerah (IPD) Kuching yang diketuai oleh Insp Muhamad Rizal dan kaki tangan Sarawak Energy Berhad (SESCO) itu dijalankan di sekitar kawasan Kuching antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Menurut ketua polis daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani, operasi itu dibuat di premis-premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen.


Katanya, mengikut seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah bahawa premis itu menjalankan sebarang aktviti perjudian.

Premis yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen telah dipotong bekalan elektrik

Beliau memberi amaran keras kepada pengusaha berkaitan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen memandangkan pihak polis akan mengambil tindakan sepertimana yang diperuntukan dalam Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan akan melaksanakan tindakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas mereka yang terlibat.

Turut dinyatakan oleh Awang Din, dalam tempoh empat hari bermula 2 Nov hingga 5 Nov, bahagian siasatan jenayah IPD Kuching telah berjaya membuat lima serbuan ke atas premis-premis perjudian ini dan seramai lima orang penjual judi atas talian turut ditangkap.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana memperuntukan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukaman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Kesemua sabjek yang ditahan telah direman dan masih dalam siasatan pihak polis. – DayakDaily