Bekalan elektrik capai 98.6 peratus di seluruh Sarawak — Julaihi

Lightbulb. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 24 Mei: Liputan bekalan elektrik setakat suku pertama tahun 2022 telah mencapai 98.6 peratus di seluruh Sarawak.

Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, bagi kawasan luar bandar liputan elektrik adalah sebanyak 96.5 peratus dengan kawasan bandar sudah mempunyai liputan bekalan elektrik sepenuhnya.

Katanya, sebanyak 657 buah kampung dan rumah panjang yang melibatkan 14,100 isi rumah di seluruh Sarawak belum mendapat bekalan elektrik.


“Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sejumlah RM2.37 bilion pada tahun 2019 untuk mempercepatkan program elektrifikasi luar bandar di bawah Projek Rakyat.

“Sambungan grid pada voltan tinggi dan voltan sederhana akan dipanjangkan dan merentasi seluruh Sarawak yang mempunyai jalan akses.

“Manakala sistem ‘off-grid’ (sistem kendiri) melalui hibrid dan Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (Sarawak Alternative Rural Electrification Scheme atau Sares) akan diteruskan untuk kawasan pedalaman terpencil tanpa jalan akses,” katanya.

Julaihi berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Tambah beliau, fasa keenam Sares kini dalam pelaksanaan yang melibatkan 141 buah kampung dan rumah panjang bersamaan dengan 2,863 isi rumah dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2023.

Katanya, Pelan Induk Pembangunan Elektrik Luar Bandar 2021-2030 dibangunkan dengan mengenal pasti kawasan dengan sistem kendiri (‘stand-alone system’) yang akan mempunyai jalan akses dalam tempoh tersebut untuk sambungan ke grid elektrik Sarawak.

Ia selaras dengan pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi luar bandar yang dirancang oleh kerajaan Sarawak di bawah PCDS 2030 yang memerlukan tenaga elektrik sebagai pemangkin pembangunan.

“Kebanyakan projek yang sedang dilaksanakan oleh Sarawak Energy menghadapi isu izinlalu yang melibatkan individu, komuniti atau konsesi pembalakan dan perladangan, terutamanya dalam pelaksanaan Projek Rakyat untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar.

“Ini juga termasuk projek infrastruktur Sarawak Energy seperti projek talian penghantaran 275kV dari Medamit, Limbang ke Bandar Limbang di bawah Northern Agenda.

“ Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terlibat dalam pembinaan projek-projek ini, termasuk wakil rakyat, memberi kerjasama bagi mencari jalan penyelesaian dan mempermudahkan pelaksanaan projek agar rakyat dapat menikmati kemudahan elektrik berkualiti seperti yang dirancang,” ujar Julaihi.

Kerajaan Sarawak mempunyai visi untuk mencapai liputan penuh bekalan elektrik 24 jam di seluruh pelosok Sarawak menjelang tahun 2025. — DayakDaily