Bayar telefon pintar dengan sampul kosong, dua rakan sejenayah dicekup police

Suspek (tiga dari kanan) ditahan bersama sebuah motorsikal di hadapan sebuah rumah di RPR Tudan , Jalan Dato Permaisuri awal pagi Khamis.

MIRI, 17 Jun: Polis menyelesaikan tiga kes penipuan pembelian telefon pintar terpakai di sekitar bandaraya Miri dengan tertangkapnya dua lelaki warga tempatan di Bandar Baru Permyjaya, awal pagi tadi (Khamis).

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun yang juga jiran sebelah rumah di RPR Tudan, Jalan Dato Permaisuri ditahan kurang lapan jam selepas mereka menipu seorang surirumah dalam urusan pembelian sebuah telefon pintar terpakai milik mangsa.

“Suspek ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Miri di sekitar jam 12.05 pagi sehingga 1.15 pagi,” ujarnya.


Turut ditemui semasa tangkapan beberapa keping sampul duit raya berwarna hijau dan telefon pinta milik mangsa.

Siasatan awal mendapati, suspek menggunakan taktik menyimpan sampul duit raya kosong dalam satu lagi sampul bertujuan mengaburi mangsa.

Katanya, pada Rabu (16 Jun), seorang surirumah berusia 25 tahun telah menemui salah seorang suspek bagi urusan menjual telefon pintar terpakai miliknya jenis Iphone XS Max 256 GB pada harga RM2,000.

Pertemuan berlaku di dalam sebuah kedai dobi layan diri di Pelita Commercial Centre sekitar jam 2.20 petang.

Difahamkan, mangsa baru sahaja melahirkan anaknya dua minggu yang lalu dan memerlukan wang hasil jualan telefon pintarnya itu bagi membeli keperluan bayinya.

Dalam pertemuan singkat itu, suspek telah menyerahkan satu sampul kepada mangsa sebelum beredar menggunakan sebuah motorsikal.

Namun, apabila ibu muda itu membuka sampul terbabit, beliau hanya menemukan beberapa keping sampul duit raya berwarna hijau di dalamnya.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. — DayakDaily