Bantulah keluarga bayi hidap penyakit ‘kepala besar’

Subahrul (kiri) dan Syafira (kanan) melihat keadaan anaknya di Kampung Tupong Ulu.

KUCHING, Jun 21: Pasangan suami isteri yang menetap di Kampung Tupong Ulu di sini merayu dan memohon bantuan orang ramai bagi membantu meringankan penderitaan anak mereka yang yang menghidap penyakit ‘hydrocephalus’ atau ‘kepala besar’ sejak lahir.

Lebih memeritkan lagi, bayi berusia tujuh bulan itu, Ainul Mardhiah Sumayyah turut disahkan menghadapi masalah komplikasi jantung.

Bapa kepada bayi malang itu, Subahrul Aran, 41, berkata, dia dan isterinya pasrah dengan takdir yang dihadapi mereka sekeluarga.

“Akibat penyakit ini, anak kami hanya terlantar dan tidak mampu bergerak normal seperti bayi seusianya.

“Ainul telah menjalani pembedahan membuang lebihan cecair dari dalam kepalanya, namun cecair itu masih ada di kepala anak kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato Sri Fatimah Abdullah (dua dari kanan) bersama rombongan melawat Ainul di Kampung Tupong Ulu, Kuching baru-baru ini.

Subahrul yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menambah, gajinya sebanyak RM900 sebulan tidak mencukupi untuk menanggung kos rawatan susulan selain untuk membeli susu khas, lampin pakai buang dan keperluan lain.

Katanya, dia serta isteri Syafira Suhaili, 30, kadang-kadang terpaksa mengikat perut untuk membeli keperluan anak mereka itu.

“Ainul kini hanya bergantung hidup dengan tiub yang dimasukkan di mulut bagi membantunya bernafas dan minum susu bagi tumbesaran dia,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Ainul boleh menghubungi Subahrul di talian 019-8986977 untuk maklumat lanjut. — DayakDaily