Bantuan makanan ke penduduk terjejas banjir di Mulu tiba pada Sabtu

Penduduk di kawasan terjejas banjir bekerjasama mengangkat bantuan makanan

KUCHING, 23 Mei: Penghantaran bantuan makanan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri kepada penduduk yang terjejas banjir di Daerah Kecil Mulu selamat sampai semalam.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), pesawat khas ‘Twin Otter’ MasWing digunakan bagi penghantaran bantuan makanan memandangkan keadaan Sungai Tutoh dan Melinau masih lagi deras dan merbahaya.

Pesawat tiba di Lapangan Terbang Mulu pada jam 2.45 petang.


Sebaik tiba, bantuan makanan segera dihantar ke Kampung Long Iman dengan menggunakan bot yang turut dipantau dan dibantu Pasukan Bomba Bantuan Mocsar Mulu.

Turut sama dalam penghantaran bantuan makanan itu ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang juga merupakan Adun Mulu Dato Gerawat Gala.

“Bantuan ini melibatkan Kampung Long Iman, Kampung Batu Bungan, Kampung Melinau dan Kampung Long Terawan.

“Penghantaran kumpulan pertama pada hari ini (Sabtu) membabitkan lebih kurang 1,200 kg berat bekalan makanan iaitu 100 pek bekalan makanan yang buat masa ini dihantar kepada penduduk kawasan Long Iman terlebih dahulu.

“Penghantaran bekalan makanan selebihnya akan dihantar melalui penerbangan seterusnya.

“Jumlah keseluruhan ialah 544 pek bekalan makanan kepada empat kawasan ini.

“Kita berharap pada Isnin nanti, jika keadaan cuaca mengizinkan pihak Bomba akan turut membantu menghantar bekalan makanan melalui helikopter Bomba kepada mangsa banjir,” kata Gerawat ketika ditemui.

Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri Datuk Lee Kim Shin telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Miri membuat tinjauan dan pemeriksaan infrastruktur jambatan Sungai Tutoh, kerosakan jalan dan jalan runtuh akibat hakisan.

Katanya, ia bagi pelaksanaan kerja-kerja baik pulih pada kadar yang segera di samping mengemukakan laporan permohonan peruntukan kerja-kerja baik pulih kepada JPBB Miri.

Sehingga Jumaat lepas, JPBB Miri telah menerima laporan sebanyak 17 kawasan dalam Daerah Marudi terjejas akibat banjir manakala enam buah kampung dalam Daerah Telang Usan termasuk Pekan Telang Usan turut terjejas akibat peningkatan paras air Sungai Baram dan fenomena hujan lebat sejak Rabu.

Daerah Kecil Mulu dan Daerah Kecil Bario (Bario Sentral, Long Banga, Long Lellang, Long Seridan) juga dilaporkan terjejas teruk akibat dinaiki air sungai. — DayakDaily