Banjir: Pangkalan hadapan di Kuching, Sarikei, Bintulu dan Limbang sudah sedia

Francis menuang air sebagai simbolik merasmikan Seminar Pemantapan Sinergi Kesukarelaan 2018 Negeri Sarawak anjuran JKM Sarawak.

KUCHING, Okt 9: Setakat ini kerajaan negeri sudah menyediakan pangkalan hadapan di Kuching, Sarikei, Bintulu dan Limbang yang menyimpan stok makanan dan barangan bantuan bagi diagihkan kepada mangsa banjir sepanjang musim hujan lebat yang akan melanda negeri ini mulai bulan depan.

Menteri Muda Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata selepas ini pihaknya akan memantau usaha penyediaan pangkalan hadapan terbabit bagi kawasan Kapit dan seterusnya kawasan Mukah dan Sri Aman.

“Kita sudah menyediakan beberapa (pangkalan hadapan) iaitu di Kampung Beradik di Kuching, Sarikei di Rumah Badang, Bukit Mas di Limbang dan selepas ini di Kapit dan yang terakhir di Mukah atau Sri Aman,” katanya ketika mewakili Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah ketika Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Sinergi Kesukarelaan 2018 Negeri Sarawak anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, di sini, semalam.


Francis berkata sebagai menteri muda yang bertanggungjawab terhadap pembukaan pangkalan hadapan, beliau juga baharu sahaja melawat satu klinik yang dijadikan pangkalan hadapan di Sebauh ,Tubau yang lebih tiga jam perjalanan mengunakan bot dari Bintulu.

Katanya lawatan tersebut adalah bagi mendapatkan maklumbalas mengenai pelbagai masalah yang dihadapi pangkalan hadapan terletak di pendalaman itu dan akan berbincangkannya dengan Fatimah selepas ini.

Sebelum ini, Fatimah mengumumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan menyediakan sebanyak 16 pangkalan hadapan di kawasan mudah terputus hubungan akibat banjir di negeri ini bagi menyimpan stok makanan dan barangan bantuan kepada mangsa banjir.

Ini berikutan Musim Monsun Timur Laut yang akan mula melanda negeri ini dari November depan sehingga Mac 2019 yang dijangka akan mengakibatkan beberapa siri hujan monsun yang lebat dan boleh menyebabkan bencana banjir.

Sementara itu mengenai sukarelawan kebajikan yang boleh membantu JKM ketika bencana, Francis berkata sukarelawan terbabit ketika ini ada di semua bahagian negeri ini tetapi majoriti mereka mendiami sekitar Kuching.

Mengikut statistik JKM, keseluruhannya ada seramai 1,851 orang sukarela kebajikan di seluruh negeri ini dengan
paling ramai di Kuching yang ada 490 orang sukarelawan terbabit diikuti Bintulu (226 orang) dan Sarikei (194 orang).

Sukarelawan kebajikan di kawasan lain ialah Serian (48 orang), Samarahan (190 orang), Sri Aman (177), Betong (140 orang), Sibu (74 orang), Kapit (34 orang), Mukah (93 orang), Miri (178 orang) dan Limbang (71 orang). ā€” DayakDaily