Rumah yang dijadikan pusat ibadah terbakar

– oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 9: Sebuah rumah teres yang dijadikan sebagai pusat ibadah terbakar dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Chawan di sini hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 11.51 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Johari Dzukiplie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran berkenaan pada pukul 11.53 pagi.

Jelasnya, sepasukan 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

“Kita juga menggerakkan dua lagi pasukan bomba dari BBP Tabuan Jaya dan BBP Batu Lintang sebagai pasukan bantuan ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat berstruktur jenis kekal terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya di sini hari ini.

Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah teres.

Johari menambah, siasatan awal juga mendapati rumah teres yang terbakar itu telah dijadikan sebagai rumah ibadah.

Katanya, tindakan pantas pihak bomba telah berjaya menghalang kemerebakkan api ke rumah bersebelahan.

“Semasa kebakaran berlaku hanya seorang penghuni yang berada di rumah tersebut, namun jumlah sebenar keseluruhan penghuni di situ adalah seramai tujuh orang.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian berkenaan.

“Operasi tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 1.29 petang,” ujarnya. — DayakDaily