Banjir kian pulih, 1,208 mangsa masih berada di PPS

Pusat Pemindahan Sementara Banjir di Dewan Masyarakat Kampung Betong, Kenawit, Serian. (gambar fail)

KUCHING, 17 Jan: Empat lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup sehingga jam 12 tengah hari tadi menjadikan hanya 12 PPS masih beroperasi berbanding 16 PPS sebelum ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejer Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan berkata, jumlah mangsa yang ditempatkan di 12 PPS terbabit mencatat pengurangan seramai 662 mangsa berbanding 1,870 mangsa yang ditempatkan di 16 PPS serakat jam 8 pagi tadi.

Katanya, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 1,208 mangsa daripada 342 keluarga masih lagi ditempat di 12 PPS tersebut.


“Daerah Serian merekodkan jumlah mangsa teramai dipindahkan setakat ini dengan 1, 088 mangsa yang ditempatkan di 10 PPS.

“Manakala bagi Daerah Kuching dan Miri masing-masing mempunyai satu PPS yang masih dibuka dengan menenpatkan seramai 120 mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, keadaan cuaca yang beransur baik membolehkan keadaan air banjir mulai surut sekaligus membolehkan mangsa pulang ke kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, mereka turut dinasihatkan untuk sentiasa bersedia untuk dipindahkan semuka jika keadaan memerlukan mereka berbuat demikian. — DayakDaily