329 mangsa masih ditempatkan di lapan PPS di utara Sarawak

Keadaan banjir melanda beberapa kawasan di utara Sarawak sejak Khamis lalu (20 Mei). .

KUCHING, 22 Mei: Jumlah mangsa banjir di utara Sarawak mencatatkan penurunan dengan seramai 329 orang penduduk masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 442 orang tengahari tadi.

Daripada jumlah tersebut, Daerah Lawas masih mencatatkan jumlah tertinggi mangsa yang dipindahkan dengan 194 mangsa manakala seramai 135 mangsa lagi dipindahkan di Daerah Limbang.

Menurut infografik yang dikeluarkan Angkatan Pertahanan Awam, sehingga kini sebanyak lapan buah PPS dibuka dengan lima PPS dibuka di Limbang sementara tiga lagi di Lawas.


PPS Dewan Masyarakat Trusan mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 100 orang mangsa masih di tempatkan di PPS berkenaan.

Ini diikuti, PPS Dewan Sekolah Kebangsaan Sundar seramai 13 orang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Trusan seramai 81 orang.

Keadaan banjir di utara Sarawak.

Manakala di Limbang, seramai 45 mangsa di tempatkan di PPS Dewan Masyarakat Kampung  Bidang, diikuti Dewan Masyarakat Mendamit seramai 29 orang, PPS Dewan Kampung Ukung (25 mangsa), PPS Dewan Buluh Baloi (28 mangsa), PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Menuang (8 mangsa) dan Dewan Kampung Ukung (25 mangsa)

Dalam pada itu, setakat jam 4 petang tadi, satu PPS telah ditutup iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Sundar yang menempatkan seramai 143 mangsa sebelum ini.

Sehingga kini sebanyak 26 buah kampung di dua daerah iaitu Daerah Limbang dan Lawas masih terjejas akibat banjir yang melanda sejak Khamis lalu. — DayakDaily