Aura antarabangsa tarikan Bau — Dr Rundi

Dr Rundi (duduk kiri) hadir pada Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2022 di Bau.

KUCHING, 2 Okt: Penganjuran Pesta Tasik Biru berupaya mempromosikan serta memperkenalkan Sarawak kepada pelancong luar negara.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penganjuran perlu memiliki aura antarabangsa agar ia diiktiraf seluruh dunia.

Katanya, Daerah Bau mempunyai produk pelancongan yang harus dioptimumkan.


“Daerah Bau yang terangkum dalam Greater Kuching bukan hanya gah pada nama sahaja tetapi ia harus menjadi hebat.

“Pemasaran bagi Daerah Bau perlu dipertingkatkan agar terus dikenali ramai,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Tasik Biru 2022 di Bau hari ini.

Pada majlis itu, turut berlangsung penyerahan plak Memorandum Persefahaman (MoU) kepada 18 kelab, persatuan dan institusi untuk kerjasama bermula tahun ini hingga 2024.

Tambah Dr Rundi, Bau menikmati transformasi pembangunan yang tidak sekadar tertumpu di persekitaran Tasik Biru, namun diperluaskan lagi di kawasan lain.

Turut hadir Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Datuk Henry Harry Jinep, Adun Serumbu Miro Simuh dan Pegawai Daerah Bau Anielia Siam.

Pesta Tasik Biru dipecahkan kepada enam kluster penganjuran iaitu pelancongan bertanggungjawab, kelestarian pelancongan, sukan warisan rakyat dan keutuhan belia, kebudayaan khazanah komuniti, Bau kitchen food heaven dan pemangkin masyarakat.

Enam kluster tersebut juga sejajar dengan elemen Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) di bawah tiga teras utama iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Pelaksanaan enam kluster ini adalah untuk memastikan keraian kita mendatangkan impak besar, bukan hanya untuk penduduk di Bau tetapi kawasan sekitar,” kata Anielia dalam ucapan aluannya. — DayakDaily