Aras minta MyIPO segerakan kelulusan penubuhan badan perlesenan kutipan royalti lagu etnik Sarawak

Gibson (duduk dua dari kiri) bersama ahli-ahli Aras. Turut kelihatan pengarah urusan MRSB Juliet Tan (duduk dua dari kanan).
Advertisement

KUCHING, 23 Jun: Cadangan penubuhan Music Right (Sarawak) Berhad (MRSB) sebagai sebuah entiti berasingan yang fokus kepada kutipan royalti muzik dan pengeluaran lesen penggunaan muzik di khalayak umum khusus di Sarawak harus disegerakan.

Pengerusi Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (Aras) Gibson Rentap berkata, penubuhan badan perlesenan ini telah mendapat sokongan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, Nanta dan Pengerusi MyIPO Datuk Mohamad Alamin semasa webinar anjuran Wisdom Foundation Sabah pada 15 Jun lepas secara dasarnya telah memberi lampu hijau untuk penubuhan badan perlesenan termasuk di Sabah.

Advertisement

“Beberapa perkara yang berkaitan urusan kutipan royalti yang melibatkan perundangan dan perlembagaan badan perlesenan sedia ada harus diselesaikan terlebih dahulu.

“Ini agar penubuhan badan perlesenan baharu ini tidak berlaku masalah pada masa akan datang.

“Berikutan saranan Nanta untuk menyelesaikan beberapa perkara yang melibatkan perlembagaan dan perundangan berkaitan urusan kutipan royalti, MRSB dan Music Rights Sabah (MRS) telah melantik peguam harta intelek sebagai wakil untuk berurusan dengan pihak MyIPO,” kata Gibson dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, MRSB sudah mengemukakan permohonan sebagai badan perlesenan kepada MyIPO pada bulan Disember 2020 lepas.

Katanya, skop kutipan royalti hanyalah ke atas lagu-lagu etnik tempatan Sarawak seperti lagu Iban, Bidayuh, Melanau, Kayan, Kenyah, Lunbawang, Salako dan lain-lain.

Jika diluluskan, ujar beliau, MRSB yang dianggotai oleh pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman tempatan akan menjadi badan perlesenan yang fokus kepada kutipan lagu-lagu etnik tempatan di Sarawak selepas 30 tahun tertubuhnya badan perlesenan di Malaysia.

“Anak-anak seni yang terlibat dalam industri muzik etnik tempatan Sarawak dipelawa untuk memohon menjadi ahli MRSB agar hasil karya mereka dapat mendatangkan pendapatan tambahan melalui pembayaran royalti setiap tahun apabila MRSB sudah diiktiraf sebagai badan perlesenan kelak.

“Mereka yang berminat untuk mengetahui info selanjutnya boleh melayari FB Page Persatuan Armada Anak Seni Sarawak dan FB ‘page’ Music Right Sarawak Berhad,” ujar Gibson. — DayakDaily

Advertisement