Anugerah Carta Lagu Radio RTM Sarawak berlangsung 27-28 Oktober depan

Azmi (duduk tengah) pada sidang media di Kuching. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 21 Okt: Anugerah Carta Lagu Radio (ACLR) RTM Sarawak akan diadakan pada 27 dan 28 Oktober depan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), edisi kali ini akan menampilkan dua anugerah utama iaitu Anugerah Carta Lagu Bidayuh (ACLB) dan Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ).

Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Televisyen Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sarawak Azmi Ahmad berkata, ACLB dan ACSJ mampu menjadi penanda aras kepada industri muzik Dayak khususnya lagu Bidayuh dan Iban.

Advertisement

“Ia merupakan platform terbaik untuk semua artis berkongsi idea dan ilmu sekali gus memartabatkan industri muzik Bidayuh dan Iban,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Program Anugerah Carta Lagu Radio RTM Sarawak 2023 di sini pada Jumaat.

ACLB dan ACSJ merupakan anugerah untuk lagu-lagu Bidayuh dan Iban daripada program mingguan terbitan radio WAIfm Bidayuh dan WAIfm Iban.

ACLB Edisi Ke-9 akan diadakan pada jam 8 malam di Perkarangan Parkir Kereta, Gate C, RTM Kuching.

Ia menawarkan hadiah lumayan iaitu RM5,000 bersama trofi untuk juara, RM3,000 dan trofi bagi naib juara serta RM2,000 dan trofi kepada pemenang tempat ketiga.

Dalam pada itu, RM1,000 dan trofi juga akan ditawarkan kepada pemenang kategori vokal terbaik, lagu paling popular dan saguhati.

Program akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Serian merangkap Penaung Utama ACLB Edisi Ke-9 Dato’ Sri Richard Riot Jaem.

Sementara itu, Azmi memberitahu, ACSJ Edisi Ke-7 bakal dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak yang juga Penaung Utama ACSJ Edisi Ke-7 Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada 28 Oktober.

Jelasnya, 12 finalis ACSJ Ke-7 telah dipilih dan akan berentap untuk merebut kejuaraan iaitu 11 finalis solo dan satu finalis kumpulan. — DayakDaily

Advertisement