Anjuran seminar, latihamal untuk mengukur kesiapsiagaan semua agensi di KIA

Mohammad Suhaimi (duduk tengah) bergambar dengan perserta-peserta seminar dan latihamal ancaman keganasan (Act of Aggression) KIA di Kuching.

KUCHING, Dis 3: Malaysia Airports dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menganjurkan seminar dan latihamal ancaman keganasan (Act of Aggression) iaitu Ex-Rampas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang merangkumi dua hari seminar diikuti oleh “table-top exercise”.

Latihamal berskala penuh serta mesyuarat “post-mortem” telah dirasmikan oleh pengurus besar kanan Malaysia Airports Mohammad Suhami Abdul Mubin.

Latihamal tersebut merupakan kesinambungan latihan ancaman keganasan yang telah diadakan sejak dari tahun 2016 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan pada tahun 2017 di terminal kedua Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA2) serta Lapangan Terbang Sandakan.


“Latihamal yang bakal berlangsung ini akan memperlihatkan kemampuan agensi-agensi yang terlibat dari pelbagai sudut.

“Adalah menjadi harapan pihak penganjur agar semua agensi yang terlibat dalam latihan ini akan memanfaatkan peluang yang ada untuk memperbaiki kelemahan yang mungkin dikenalpasti untuk tindakan yang lebih baik dan berkesan dalam menghadapi krisis keganasan.

“Kesempatan ini juga boleh digunakan untuk semua pihak menyemak dan menilai semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah sedia ada di agensi atau organisasi masing-masing sama ada agensi kerajaan mahupun pihak swasta yang beroperasi di lapangan terbang mahupun di luar lapangan terbang,” kata Suhaimi dalam majlis tersebut.

Beliau menjelaskan latihan berkenaan juga bertujuan untuk mengukur kesiapsiagaan kesemua agensi ketika menghadapi sebarang kemungkinan ancaman keganasan ataupun krisis dan kecemasan yang tidak dijangka.

Perasmian tersebut turut diserikan dengan kehadiran senior asisten komisioner (SAC) Dato’ Muhammed Hasbullah Ali, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak; SAC Rosli Mohd Isa, pengurus besar keselamatan penerbangan Malaysia Airports; Deddy Faisal Ahmad Salleh, pengarah Kementerian Luar Negeri, Sarawak; Timbalan Superintendan Polis (DSP) Alif Haiqal Ramesh Abdullah, penolong pengarah Majlis Keselamatan Negara, Sarawak; Abd Malik Mohd Yunus, pengurus besar Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Malaysia Airports; dan Ir Jun Iskandar Murshidi, pengurus KIA. — DayakDaily