Situasi banjir semakin pulih, dua bahagian masih terjejas

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak membantu melakukan kerja-kerja pembersihan di SK Nanga Selangau hari ini.

KUCHING, Feb 12: Situasi banjir di Sarawak semakin pulih dengan 475 mangsa daripada 110 buah keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara setakat ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, kesemua mangsa itu masih berada di dua pusat pemindahan banjir di Mukah dan Bintulu.

Katanya, pusat pemindahan sementara di Dewan Suarah Mukah masih menempatkan 18 keluarga daripada lima keluarga.


“Terdapat tiga kawasan yang masih terjejas di Mukah iaitu Rumah Ibat Sungai Dijih, Kampung Sitieng Sebakong dan Kampung Sauh Mukah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak membantu penduduk tempatan melakukan kerja-kerja pembersihan di SK Nanga Selangau hari ini.

Ismail menambah, di Bintulu pula, terdapat 457 mangsa daripada 105 keluarga masih ditempatkan di Dewan Sukan Tatau.

Katanya, terdapat 10 kawasan masih terjejas akibat banjir iaitu Kampung Dagang Tatau, Rumah Miggat Sungai Jelai, Kampung Baru Tatau, Setinggan Seberang Tatau, Jalan Berek Lama, Rumah Das Sungai Kelawit, Kd Timber, Taman Golden, Nanga Sangan dan Klinik Sangan.

“Bencana sama juga mengakibatkan tujuh buah klinik kesihatan terjejas dengan tiga buah ditutup akibat kawasan klinik masih dinaiki air banjir.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak juga melaporkan 17 buah sekolah masih ditutup akibat banjir,” ujarnya lagi. — DayakDaily