KUCHING, 6 Ogos: Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) masih berada di kawasan operasi maritim sekitar Pulau Perak untuk mencari petunjuk baru berikutan kehilangan dua anggota tentera dari Sarawak pada 20 Julai lalu.
Manakala sebuah helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga diletakkan di bawah keadaan siap-sedia untuk diatur gerak dari Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, pada bila-bila masa.
Rondaan maritim berikut telah diarahkan untuk melaporkan segera jika terdapat sebarang petunjuk baharu.
Kedua tentera yang dikatakan hilang itu ialah Lt Kpl Moses Logers, 25, dari Bau dan Kpl David Edmund Rapi, 39, dari Dalat.
“Pelbagai usaha telahpun dilakukan melalui Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), dikenali sebagai Op Carilamat, yang telah diaktifkan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sebagai agensi peneraju, sejak hari pertama kedua-dua anggota Tentera Darat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kawasan operasi di Pulau Perak, Kedah.
“Operasi yang turut disertai oleh tentera darat, TLDM dan TUDM ini telah dilaksanakan berdasarkan Perintah Tetap Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan dan International Aeronautical and Maritime Search and Rescue (IAMSAR) Malaysia Jilid 4,” kata Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini.
Namun, Op Carilamat tersebut telah ditamatkan oleh APMM atas kesahihan jelas, bahawa tiada sebarang petunjuk dan tiada penemuan sebarang jasad setelah 72 jam operasi ini dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, sebuah kapal TLDM yang berada di kawasan operasi maritim sekitar perairan Pulau Perak telah diarah meneruskan pencarian dan berada di lokasi sehingga 26 Julai tetapi kini, masih meneruskan rondaan kawasan berkenaan.
Setakat ini, tiada sebarang petunjuk positif yang ditemui untuk mengaitkan kehilangan kedua-dua anggota berkenaan. — DayakDaily