Lelaki hilang di Hutan Kampung Kuap, ditemui selamat

Mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh EMRS Bomba.

KUCHING, 14 Dis: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Kuap di Jalan Batu 10 dijumpai selamat lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dijumpai sekitar jam 11.07 malam.

Katanya, operasi SAR dilancarkan selepas pihak bomba menerima laporan kehilangan mangsa pada jam 3.36 petang.


“Operasi SAR diteruskan selepas anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Kuap yang terdiri daripada 10 orang melapor diri di Pusat Kawalan Bomba untuk membantu SAR pada jam 10.20 malam.

“Pada jam 11.07 malam, komander operasi lapor mangsa telah berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan berjaya dibawa keluar dari hutan pada jam 11.50 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang berusia 28 tahun itu kemudian diberikan rawatan oleh unit EMRS Bomba.

“Mangsa enggan dihantar ke klinik untuk pemeriksaan,” katanya.

Operasi SAR oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tamat sepenuhnya pada jam 1.10 pagi. ā€” DayakDaily