Anggota RELA tidak tertakluk sebagai pengundi pos

Tan Sri Mohd Hashim Abdullah
Advertisement

KUCHING, Jan 3: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam memberi penjelasan bahawa anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) tidak tertakluk sebagai pengundi pos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, pihaknya telah menetapkan kategori-kategori tertentu termasuk anggota polis dan tentera sebagai pengundi pos.

Namun ujarnya, jumlah sebenar pengundi pos berkenaan hanya dapat ditentukan selepas semua permohonan dibuka dan diterima.

Advertisement

“Kekeliruan ini mungkin berlaku kerana anggota RELA disalah erti sebagai termasuk dalam kategori anggota Sukarelawan Simpanan Polis DiRaja Malaysia (PVR).

“Sehubungan itu, SPR menyelar dakwaan tidak berasas oleh pihak tertentu mengenai terdapat empat juta pengundi pos dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan merangkumi anggota RELA,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Mohd Hashim menambah, pada PRU13, SPR telah menetapkan beberapa kategori pengundi dalam negara yang boleh memohon untuk menjadi pengundi pos, iaitu anggota tentera dan anggota polis yang tidak dapat hadir semasa hari pengundian awal, selain petugas media dan petugas pilihan raya yang bertugas di luar bahagian pilihan raya mereka berdaftar.

Jelas beliau, kemudahan pengundian pos yang diberikan kepada kategori pemilih bukanlah secara automatik kepada semua anggota berkenaan, tetapi ia hanya tertakluk kepada anggota yang dikehendaki menjalankan tugas pada hari mengundi.

“Bagi kategori pemilih di luar negara pula, kakitangan awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangan, pelajar sepenuh masa yang belajar di luar negara dan pasangan, serta rakyat Malaysia yang disenaraikan sebagai pengundi tidak hadir turut diberikan kemudahan pengundian secara pos.

“Jadi, dalam hal ini SPR ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan rakyat.

“Ini kerana, di bawah Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan mana-mana warga negara yang telah mendaftar sebagai pemilih boleh mengundi secara pos dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada kategori yang ditetapkan SPR,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement