Penduduk kampung lepaskan tembakan untuk tangkap buaya

Buaya yang ditembak sebelum ditangkap di Sungai Seblak, Kabong.

SARATOK, Jan 3: Seorang penduduk kampung terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah seekor buaya sebelum berjaya menangkap reptilia ganas itu di Sungai Seblak berhampiran Kampung Emplam, Kabong di sini semalam.

Lelaki yang ingin dikenali sebagai Rosli, 43, berkata, buaya sepanjang kira-kira empat meter dan seberat lebih 300 kilogram itu pada mulanya telah memakan umpan daging ayam yang dipasang pada mata kail di sungai tersebut.

Katanya, disebabkan buaya tersebut bertindak agresif dan sukar dibawa ke darat, dia terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah badan sang bedal itu.


Akhirnya buaya tersebut mengalah sebelum dia mengikat kaki reptilia berkenaan dan menutup matanya dengan menggunakan kain.

“Saya kemudian meminta bantuan penduduk kampung untuk menarik sang bedal itu ke darat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menceritakan lanjut, Rosli memberitahu, selepas hampir sejam bergelut dengan reptilia itu, mereka akhirnya berjaya mendaratkan buaya tersebut.

Katanya, penduduk kampung kemudian gempar dengan kejayaan tangkapan sang bedal itu kerana buaya sama dikatakan sering muncul di permukaan sungai di situ selain membaham ayam serta itik ternakan di tebing sungai itu.

“Buat masa ini kami belum memaklumkan pihak berkuasa mengenai kejayaan kami tangkapan buaya itu,” katanya. — DayakDaily