Pengundi pos diingatkan tidak tularkan kertas undi, borang atau sampul-sampul berkaitan PRU14

Tan Sri Mohd Hashim Abdullah

KUCHING, Mei 4: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan semua pengundi khususnya kepada mereka yang layak mengundi secara pos sama ada di dalam negara mahupun di luar negara untuk tidak merakam gambar mana-mana dokumen seperti kertas undi, borang atau sampul-sampul berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, kumpulan pengundi pos juga diingatkan agar tidak menularkan kertas undi, borang atau sampul-sampul berkaitan PRU14 melalui media sosial atau apa-apa medium komunikasi.

Tegas beliau, larangan itu bertujuan bagi memastikan ketelusan ‘undi adalah rahsia’ tetap terpelihara dalam PRU14.

“Larangan ini meliputi semua jenis pengundian termasuklah undi pos yang menerima dokumen pilihan raya sebelum pengundian awal atau biasa.

“Ianya juga bertujuan untuk memelihara keselamatan dan kepentingan awam sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Mohd Hashim menambah, mana-mana individu atau pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Jelas beliau, apabila disabitkan kesalahan, mana-mana individu tersebut boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

“Individu terbabit juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari sabitan itu.

“Sehubungan dengan itu semua pengundi diberi peringatan agar memastikan kerahsiaan undi mereka terpelihara,” katanya lagi. — DayakDaily