Anggota polis bersekongkol edar dadah diberkas

Dadah yang dirampas dari suspek

Juetila Ozzy

KUCHING,21 Jan: Seorang anggota polis berusia 39 tahun dan rakannya yang berusia 42 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah sekitar jam 1 tengah hari pada 19 Januari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak ACP Jasmirol Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata penangkapan itu dibuat di kaunter pendaftaran sebuah bangunan kediaman di Jalan Datuk Tawi Sli.


“Semasa operasi, suspek (anggota polis) berdiri di kaunter pendaftaran dan dilihat memegang bungkusan coklat sementara seorang lagi suspek berada di luar ruang legar,” kata Jasmirol.

Setelah menyedari kehadiran pasukan polis, suspek kedua cuba melarikan diri dengan berlari menuju ke sebuah kereta yang sedang menunggu, namun dia berjaya ditangkap.

“Sementara pemandu kereta terus melarikan diri dari lokasi kejadian sehingga melanggar seorang pegawai polis,” kata Jasmirol sambil menambah bahawa anggota polis yang cedera telah diberi rawatan pesakit luar di Hospital Umum Sarawak.

Setelah kedua-dua suspek ditangkap, polis membuka kotak coklat dan menemui bungkusan Syabu yang dianggarkan bernilai RM128,770 dan serbuk ecstasy bernilai RM10,500.

Kedua-dua suspek didapati positif metaphetamine dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Selain itu, siasatan lanjut mendapati anggota polis yang ditangkap juga mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Manakala seorang lagi suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta yang sama.

Kedua-duanya kini dalam tahanan sehingga 27 Januari. — DayakDaily