ALAF beri manfaat kepada 9,090 isi rumah sejak diperkenalkan pada tahun 2018 – Julaihi

ALAF telah diperuntukkan di bawah Projek Rakyat untuk rumah tertinggal atau baharu dibina selepas projek bekalan elektrik luar bandar siap di kawasan tersebut.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 24 Mei: Bantuan Dana Pemohon Tambahan atau Lewat Additional and Late Applicant Fund (ALAF) telah memberi manfaat kepada 755 buah kampung dengan 9,090 isi rumah sejak ia diperkenalkan pada tahun 2018.

Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, ALAF telah diperuntukkan di bawah Projek Rakyat untuk rumah tertinggal atau baharu dibina selepas projek bekalan elektrik luar bandar siap di kawasan tersebut.


“Kriteria kelayakan ALAF adalah rumah yang selamat untuk dihuni.

“Premis komersial, stor dan rumah yang tidak selamat didiami adalah tidak memenuhi kriteria untuk dipertimbangkan di bawah skim ALAF,” katanya.

Julaihi berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini, hari ini.

Tambah beliau, sehingga kini, terdapat kira-kira 35,000 pemohon di seluruh Sarawak yang memerlukan pemasangan elektrik melalui skim ALAF.

Katanya, projek ini adalah skim berterusan yang sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Namun ujar Julaihi, terdapat beberapa halangan dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan projek ini.

“Antara cabaran utama adalah kekurangan jumlah orang kompeten yang memenuhi syarat Sarawak Energy untuk melaksanakan kerja-kerja berdekatan sistem grid dengan selamat.

“Di samping itu, kita juga menghadapi kekurangan kontraktor pelaksana yang berminat. Sehingga kini, terdapat 18 kontraktor dengan 29 pasukan terlibat dalam pelaksanaan projek ALAF dan jumlah ini masih lagi tidak mencukupi,” ujar beliau.

Justeru tambah Julaihi, Kementerian bersama Sarawak Energy sedang giat berusaha untuk meningkatkan bilangan orang kompeten serta bilangan kontraktor yang diperlukan.

Ini termasuk mengadakan latihan khas yang bersesuaian untuk meningkatkan kemahiran orang kompeten untuk memiliki kepakaran khusus dengan sistem grid Sarawak Energy.

Selain itu ujar beliau lagi, kenaikan harga bahan binaan di pasaran juga memberi impak ke atas pelaksanaan projek ALAF dengan kadar harga projek perlu dinilai semula sejajar dengan kenaikan harga bahan binaan di pasaran.

Kementerian katanya telah merancang untuk mengadakan bengkel pada penghujung bulan Julai 2022.

“Ia bagi membincangkan hala tuju yang berkesan untuk pelaksanaan projek ALAF dalam usaha untuk memastikan setiap isi rumah mendapat bekalan elektrik,” kata Julaihi. — DayakDaily