IPT swasta Miri kerugian RM24,314 akibat penipuan

ACP Lim Meng Seah (file photo)

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 29 Ogos: Sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di sini kerugian lebih RM24,000 selepas menjadi mangsa penipuan seorang individu yang menyamar sebagai pelajar institusi terbabit yang meminta bayaran balik.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata pihak institusi telah dihubungi oleh suspek pada 27 Julai menerusi kiriman email daripada individu berkenaan yang menyamar sebagai salah seorang pelajarnya.

Borang `refund`turut disertai dalam email tersebut.

“Pada 15 Ogos, pihak universiti telah membuat pembayaran berjumlah RM24,314 ke akaun yang telah diberi.

“Selepas dua hari transaksi dilakukan, iaitu pada 17 Ogos pihak mangsa telah dimaklumkan oleh pelajar berkenaan (pelajar yang sebenarnya) bahawa beliau tidak pernah menghantar emel permohonan refund tersebut,” jelas Lim.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Pihak polis sedang menyiasat kes ini dan usaha untuk mengesan suspek sedang giat dilakukan,” kata Lim.-DayakDaily