Lelaki ditipu lebih RM64,000 kenalan media sosial – Polis Miri

File photo for illustration purposes

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 19 Sept: Gara-gara teruja ditawarkan wang sebanyak USD2,000,000, seorang lelaki dari Desa Permai Bandar Baru Permyjaya kerugian lebih RM64,000.

Kejadian berlaku selepas mangsa berusia 51 tahun itu berkenalan dengan suspek yang dikenali sebagai ‘Abdul Mateen’ di dalam media sosial pada Jun 2019.


“Mangsa telah membuat beberapa kali transaksi ke akaun berbeza dari tarikh 9 Mac, 2020 sehingga 7 Julai (2020) melibatkan sejumlah RM64,496.37,” ujar Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah ketika dihubungi hari ini.

Lim berkata pengadu turut dimaklumkan telah terlibat dengan pengubahan wang haram dan perlu membuat pembayaran bagi membersihkan nama daripada terlibat dengan kegiatan tersebut.

“Namun pengadu tidak membuat pembayaran dan merasa takut terus tampil ke balai polis untuk membuat laporan,” jelasnya.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat mangsa semalam (18 Sept).

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-DayakDaily