Lelaki kerugian RM11,720 akibat skim pelaburan yang ditawarkan melalui Fb

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Nov: Hasrat seorang lelaki dari Jalan Airport di sini mahu mendapatkan keuntungan segera dengan melaburkan wang dalam skim pelaburan, membawa padah apabila kerugian RM11,720.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, penipuan itu berlaku pada November 4 lepas apabila mangsa berminat untuk menyertai skim pelaburan yang ditawarkan rakan yang baru dikenalinya melalui Facebook.


“Mangsa ditawarkan keuntungan sebanyak 30 peratus dalam sebulan sekiranya dia melabur dalam skim pelaburan tersebut oleh suspek yang dikenali sebagai Zi Qing,” ujar Lim.

Pada hari yang sama jam lebih kurang 8.34 malam, pengadu telah terima mesej dari whatsapp bernombor 01162484683 yang memperkenalkan diri sebagai Peter dari Syarikat Masegold United dan bertanyakan kepada pengadu sama ada pengadu berminat dengan pakej perlaburan yang telah diceritakan oleh rakannya kepada pengadu sebelum ini.

“Peter memberitahu kepada pengadu bahawa dia akan menolong pengadu untuk buka satu akaun pelaburan dengan cara Peter akan tolong pengadu bayar sebanyak RM2,500 dan pengadu sendiri kena buat bayaran sebanyak RM500, manakala pihak kompeni akan tolong bayar modal pendahuluan kepada pengadu sebayak RM1,000,” jelas Lim.

Pengadu diberitahu Peter bahawa modal pelaburan adalah RM4,000.

Pada November 8, pengadu telah memindahkan wang sejumlah RM500 secara atas talian ke dalam akaun OCBC 7912092723 atas nama Maureen Teo dan pada November 24, pengadu sekali lagi memindahkan wang sebanyak RM4,500 ke dalam akaun Hong Leong Bank 11750055531 atas nama Jeremiah Ang.

Pada November 22, pengadu menyatakan tidak lagi berminat melabur dan ingin menutup akaunnya, namun diberitahu beberapa pembayaran perlukan dilakukan untuk proses penutupan akaun.

“Untuk proses penutupan akaun, mangsa diberitahu perlu membayar sebanyak RM6,720,” jelas Lim.

Namun, selepas pindahan itu, pengadu sekali lagi diberitahu perlu membayar kos SST sebanyak RM7,180.

Menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudiannya segera membuat laporan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu. — DayakDaily