Aidel: Batal projek Sarawak, PH amal dasar tidak bertanggungjawab

Aidel Lariwoo

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Nov: ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo menyifatkan keputusan kerajaan persekutuan membatalkan beberapa projek di Sarawak sebagai dasar tidak bertanggungjawab kepada rakyat negeri ini.

Katanya, dasar tersebut seolah-olah bentuk hukuman dari kerajaan persekutuan kepada Sarawak yang selama ini menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan negara.

“Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, banyak projek-projek yang sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 telah dibatalkan.

“Inilah dasar kerajaan persekutuan yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat Sarawak,” katanya pada perbahasan belanjawan Negeri 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau turut menyenaraikan 15 projek yang telah diluluskan kerajaan terdahulu dalam “Rolling Plan 2” RMK11 tetapi dibatalkan kerajaan Pakatan.

Tiga projek yang melibatkan peruntukan yang besar adalah pembinaan Jambatan Batang Lupar di Sri Aman dengan kos RM1 bilion, pembinaan Jambatan Batang Igan (RM300 juta) dan pembinaan Jambatan Batang Rambungan(RM142 juta).

Namun pembinaan ketiga-tiga jambatan ini telah diambil sepenuhnya kerajaan negeri Sarawak.

Selain pembinaan jambatan, Aidel turut menyenaraikan projek loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di Miri dengan kos RM428 juta.

Empat projek loji rawatan, iaitu di Limbang, Kapit, Sarikei-Bintangor dan Sri Aman-Betong dengan kos RM60 juta.

Turut dibatalkan kata Aidel, adalah projek Balai Bomba Matu/Igan dengan kos RM80,000, Mahkamah Bumiputera (RM40 juta), pembinaan jalan dari Nyigu ke Bintulu Tatau (RM42 juta) dan sambungan jalan dari Ijok ke Muman (RM15 juta). — DayakDaily