Ahli Parlimen GPS capai pelbagai kejayaan hasil Pindaan MA63

Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie

KUCHING, 16 Okt: Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencapai pelbagai kejayaan hasil daripada Pindaan Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie, ia adalah hasil kekuatan dan iltizam semua Ahli Parlimen GPS.

“Kalau dikira dari logik akal adalah mustahil untuk meminda perlembagan persekutuan dalam keadaan kerajaan dan semua parti politik tidak mempunyai majoriti dua pertiga.


“Namun, dengan kekuatan dan iltizam semua Ahli Parlimen GPS maka pada 14 Disember 2021 Perlembagaan Malaysia berkenaan MA63 telah berjaya dipinda dengan sokongan 100 peratus Ahli Parlimen yang hadir.

“Bahkan Pindaan ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan telah diwartakan oleh kerajaan sebagai akta pindaan kepada Akta 1642 pada 25 Januari 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Syed Hamzah, kejayaan meminda perlembagaan adalah satu sejarah dan langkah pertama ke arah mengukuhkan dan mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah yang terhakis selama ini.

Katanya, kalau dahulu Sarawak dan Sabah dikategorikan sebagai negeri yang setaraf dengan Perlis, Kedah atau Johor, tetapi sekarang Sarawak dan Sabah diberi status Negeri-Negeri Borneo iaitu setara dengan Persekutuan Negeri Negeri Tanah Melayu.

Pindaan itu juga katanya berjaya memurnikan tafsiran perkataan Persekutuan dalam Artikel 160(2) dari Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya kepada Persekutuan Malaysia.

“Kerajaan juga bersetuju menambah kawasan parlimen di Sarawak dan Sabah kepada satu pertiga daripada jumlah keseluruhan kawasan parlimen Malaysia. Kerajaan bersetuju melantik wakil kerajaan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN).

“Kerajaan bersetuju menyenaraikan pelancongan di bawah kuasa bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” ujar Syed Hamzah.

Selain itu ujar beliau, atas hakikat bahawa Sarawak bukan lagi setara dengan negeri-negeri di Semenanjung maka kerajaan persekutuan tiada bantahan apabila jawatan ketua pentadbiran kerajaan negeri Sarawak menggunakan gelaran Premier.

Manakala kini definisi penduduk asli dan bumiputra di Sarawak tidak lagi tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya boleh ditentukan sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.

Kerajaan juga bersetuju agar Perlantikan Suruhanjaya Kehakiman untuk Sarawak akan dibincang dengan TYT Sarawak terlebih dahulu sebelum perlantikan dibuat.

Justeru Syed Hamzah kecewa dengan sesetengah pihak tidak menyedari semua ini dicapai sepanjang tempoh 13 bulan ini.

Beliau berkongsi satu artikel yang dimuatnaik dalam satu portal berita yang memetik kenyataan Presiden Parti Sedar Dato Othman Abdillah menyelar Ahli-ahli Parlimen GPS sebagai lembik dan lemah.

“Semua kejayaan ini berlaku dalam masa 10 bulan selepas pindaan perlembagaan Malaysia.

“Saya selaku Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen ) selama 13 bulan ini menjadi saksi hidup bagaimana bertungkus lumusnya Ahli Parlimen GPS bekerja keras sehingga perlembagaan berkenaan MA63 telah berjaya dipinda dan dilaksanakan,” jelas Syed Hamzah. — DayakDaily