Ahli-ahli farmasi digesa beretika — Dr Jamilah

Dr Jamilah ketika ditemui pemberita.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 4 Mei: Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim menyeru pegawai-pegawai farmasi dari sektor kerajaan dan swasta memainkan peranan secara beretika dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga Farmasi Malaysia.

Menurut beliau, mereka mesti mengikut peraturan yang ditetapkan dan perbuatan mengambil stok ubat-ubatan dari stor farmasi dan menjual kepada pihak farmasi adalah satu kesalahan.

“Sebagai contoh di sektor kerajaan, ada segelintir kecil di kalangan pegawai farmasi mengambil ubat-ubatan dari stor klinik atau hospital dan kemudiannya dijual kepada pihak farmasi.

“Perbuatan ini sangat tidak beretika dan menyalahi undang-undang, dan saya harap kejadian yang pernah berlaku ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Farmasi Sarawak 2019 di sini hari ini.

Mengulas isu yang sama, Dr Jamilah menegaskan yang farmasi swasta perlu menggunapakai borang preskripsi yang disediakan sebelum menjual ubat kepada pelanggan khususnya ubat-ubat yang berjadual.

Katanya, jika didapati tidak mengikut arahan tersebut, farmasi boleh dikenakan denda dan dikeluarkan dari daftar Farmasi.

“Namun demikian, di Sarawak tiada kes yang serius dilaporkan dan pihak Penguatkuasaan Lembaga Farmasi akan sentiasa melakukan pemeriksaan ubat-ubatan yang dijual di farmasi di negeri ini,” katanya.

Sementara itu beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati membeli produk kecantikan dari atas talian.

Tegas beliau, semak terlebih dahulu ubat atau produk kecantikan samada ia mendapat kelulusan atau berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau memberi amaran berkemungkinan ubat-ubatan atau produk  tertentu mengandungi bahan-bahan steroid yang boleh menjejaskan kesihatan dan berbahaya kepada sistem tubuh badan.

Persidangan yang bermula hari ini sehingga esok diadakan untuk mengukuhkan tahap profesionalisma dan pengetahuan serta peranan farmasi.

Seramai 280 peserta daripada kalangan anggota farmasi dari sektor kerajaan dan swasta datang menghadiri persidangan kali ini. — DayakDaily