KUCHING, Julai 9: Agrobank telah mengeluarkan jumlah pembiayaan mencecah RM1,202.38 juta kepada pelanggannya di Sarawak sehingga setakat Jun tahun ini.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata pembiayaan tersebut adalah peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 9.41 peratus dan lebih tinggi dari pertumbuhan dicatatkan pada 2018 untuk tempoh sama.
“Sarawak merupakan sebuah negeri yang berpotensi besar dalam industri pertanian. Potensi ini dapat dilihat pada prestasi memberangsangkan negeri ini dimana setakat Jun 2019 jumlah pembiayaan Agrobank di Sarawak adalah sebanyak RM1,202.38 juta,” katanya ketika program ‘Agenda Agro: Prospek dan Peluang dalam Sektor Pertanian’ anjuran Agrobank di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Khadijah di acara itu juga menyampaikan surat tawaran pembiayaan Agrobank dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM8.135 juta kepada seramai 10 orang pelanggannya di negeri ini.
Beliau kemudian menyampaikan sijil perlantikan kepada empat AGROAgent baharu dan tiga AGROAgent yang terbaik di Sarawak.
“Setakat Jun 2019 seramai 1,069 AGROAgent telah didaftarkan di seluruh Malaysia dan di Sarawak sahaja, seramai 114 AGROAgent terbabit telah didaftar,” katanya dan menambah agen perbankan itu bagi Agrobank memperluaskan perkhidmatan perbankan asas dan membantu golongan kurang mendapat liputan.
Selain itu, di acara itu juga beliau menyaksikan penyerahan penajaan Takaful Agro Nurani dari lima syarikat koperat kepada tujuh sekolah dengan jumlah tajaan sebanyak RM11,550 serta jumlah manfaat perlindungan bernilai RM3.213 juta. — DayakDaily