Agong: PM baharu perlu kemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat

File photo of Istana Negara.

KUCHING, 18 Ogos: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Pasukan Baginda bertitah ia untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka Baginda akan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu bagi membincangkan isu-isu semasa yang dijadualkan pada Jumaat ini, 20 Ogos.

Seri Paduka Baginda telah menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu-gugat tadbir urus Kerajaan ketika kita masih diancam pandemik Covid-19.

“Baginda menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara.

“Di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini,” katanya.

Tambah Ahmad Fadil, Seri Pasukan Baginda berpandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.

Ujar beliau, semua harus memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama, demi mengharmonikan suasana, ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya.

Semua pihak titah Baginda sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

“Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua,” ujar Ahmad Fadil. — DayakDaily