Adun Tupong: Program Outreach Mobilasasi Vaksin bantu penduduk setempat terima vaksin

Abang Johari (duduk kiri) meninjau proses pemberian vaksin di dalam sebuah bas yang telah di ubah suai. Turut kelihatan Fazzruddin (berdiri dua dari kiri).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Julai: Program Outreach Mobilasasi Vaksin di Dewan Matang Batu 10 dekat sini bantu penduduk setempat mendapatkan suntikan vaksin, kata Adun Tupong Fazzruddin Abdul Rahman.

Menurut beliau, program ketiga anjuran Parlimen Petra Jaya dan DUN Tupong itu terus menunjukkan peningkatan ketara jika dibandingkan dengan dua program terdahulu.

“Di kawasan Tupong, kita menekankan beberapa faktor iaitu yang pertama kepada mereka yang belum mendaftar di dalam Mysejahtera. Jadi kita mengerakkan pasukan untuk mengambil maklumat berkaitan.

“Kedua, kita mengenal pasti mereka yang sudah mendaftar tetapi belum mendapat vaksin.

“Dan ketiga, kita mengenal pasti mereka yang sudah mendaftar atau belum mendaftar, tetapi tidak mampu untuk bergerak ke pusat pemberian vaksin,” katanya ketika ditemui pada program tersebut hari ini.

Tambah Fazzruddin, dengan data-data yang diperolehi, AJK Induk akan berbincang untuk memutuskan zon-zon yang akan dilawati bagi tujuan pemberian vaksin.

Terdahulu, program yang sama telah diadakan di Kampung Kolong 2, Matang dan berjaya memberi suntikan kepada 1,460 penerima.

Program kedua telah diadakan di Kampung Paruh dengan 960 penerima vaksin.

Di samping itu, Program Outreach Mobilasasi Vaksin turut melibatkan lawatan ke rumah di mana seramai 16 penerima yang tidak mampu untuk bergerak telah menerima suntikan vaksin.

“Untuk program seterusnya, kita akan ke Kampung Sungai Tengah dan Kampung Sagah dengan sasaran 2,500 penerima vaksin,” kata Fazzruddin.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada hari ini turut meluangkan masa meninjau Program Outreach Mobilasasi Vaksin di Dewan Matang Batu 10. — DayakDaily