Abang Johari: 42 peratus penduduk selesai suntikan dos pertama

Abang Johari (kanan) menyaksikan proses pemberian vaksin di dewan batu 10 Matang.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Julai: Sejumlah 42 peratus penduduk Sarawak telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 setakat 3 Julai 2021.

Ketua Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia bersamaan dengan 1,270,579 juta penerima.

“Bagi dos kedua pula, seramai 261,280 orang telah menerima suntikan iaitu bersamaan 10 peratus.

“Dan jumlah keseluruhan yang telah kita berikan kepada rakyat ialah 1,488, 859 dos, iaitu sehingga 2 Julai,” katanya pada sidang media pada lawatan ke Program Outreach Mobilasasi Vaksin di Dewan Matang Batu 10 di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, Sarawak kini mensasarkan 60,000 suntikan vaksin sehari di seluruh negeri.

Dengan peningkatan sasaran sehari dan jumlah rakyat yang telah menerima vaksin, beliau yakin Sarawak boleh mencapai imuniti kelompok pada penghujung Ogos ini.

“Kita sekarang fokus kepada pemberian vaksin kerana usaha melawan virus Covid-19 adalah menerusi vaksinasi.

“Dan selepas itu, rakyat akan dilindungi. Kita berharap akan menjalani kehidupan seperti biasa dengan norma baharu,” kata Abang Johari.

Mengulas berhubung program tersebut, beliau berkata ia mensasarkan suntikan 1,000 dos vaksin kepada penduduk yang tinggal di sekitar Batu 10 Matang.

Ujar Abang Johari, program membolehkan rakyat untuk mendapatkan suntikan tanpa perlu pergi ke pusat-pusat pemberian vaksin.

“Ini adalah satu kawasan di pinggiran bandar, kami telah melawat kawasan di pendalaman termasuklah di Kapit.

“Prosedurnya sama, cuma di sini kita menyediakan bas yang telah diubah suai untuk tujuan pemberian suntikan,” katanya.

Turut hadir Timbalan ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah, Menteri Kanan Kerja Raya merangkap MP Petra Jaya Dato Sri Fadillah Yusuf dan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. — DayakDaily