Adun Tasik Biru cadangkan acara sambutan 200 tahun perlombongan emas di Bau

Henry (tiga dari kanan) dan Desmond (dua dari kiri) mempamerkan baju program sebagai simbolik perasmian di Bau. Turut kelihatan Eddy (dua dari kanan) dan Simon (kiri).

Oleh Chris Bishop

BAU, 13 Dis: Adun Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep bercadang mengadakan sambutan 200 tahun perlombongan emas di Bau pada 31 Disember ini.

Menurut beliau, surat jemputan telahpun dihantar kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk merasmikan sambutan itu nanti.


“Saya telah membaca sejarah dan mendapati aktiviti perlombongan emas di Bau telah bermula pada tahun 1820.

“Pada tahun 2020 ini, genap dua abad aktiviti perlombongan emas di Bau dan kita mengambil keputusan untuk mengadakan satu acara sambutan sebagai simbolik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selesai merasmikan program Hari Pembelian Barang Kitar Semula di Perkarangan Tasik Biru, di sini, hari ini.

Di samping itu, beliau turut berkata bahawa satu simposium berhubung sejarah perlombongan emas di Bau akan di adakan di sebuah hotel di Kuching pada Selasa ini.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha kerajaan yang telah melantik satu badan konsultan untuk melakukan kajian berhubung cadangan penubuhan Muzium Lombong Emas di Bau.

“Simposium itu nanti bakal disertai ahli-ahli sejarah, pegawai-pegawai dari kementerian pelancongan dan muzium.

“Mereka dijangka akan membentangkan maklumat dan bukti-bukti bahawa aktiviti perlombongan telah bermula pada 1820 iaitu 200 tahun yang lalu,” ujar beliau.

Namun tambah Henry, butiran terperinci berhubung cadangan sambutan akan diberitahu selesai simposium pada Selasa nanti.

Berhubung program Hari Pembelian Barang Kitar Semula yang diadakan, beliau berkata ia bersempena dengan Program Hijau yang dianjurkan Majlis Daerah Bau (MDB) untuk memastikan daerah tersebut berada di dalam keadaan bersih.

Orang ramai digalakkan untuk menghantar barangan kitar semula ke pusat pengumpulan iaitu di Perkarangan Tasik Biru dan barangan tersebut akan di dibayar.

Jelas Henry, purata sisa buangan yang dihasilkan 62,000 penduduk di Bau adalah 60 tan sehari dan program mampu mengurangkan 30 peratus daripada jumlah tersebut.

Turut hadir Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Desmond Douglas Jerukan, Pemangku Pegawai Daerah Bau Eddy Nayoi dan Setiausaha MDB Simon Wong. — DayakDaily