ADUN Jemoreng: MPKKP satu majlis haram, menyalahi semangat MA63

Datuk Dr Juanda Jaya

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 6 Nov: ADUN Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya telah menyifatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) sebagai satu majlis haram.

Penubuhkan majlis itu menyalahi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), katanya pada perbahasan Belanjawan Negeri 2020 di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.


“Ini satu lagi janji manis kerajaan Pakatan Harapan yang mahu menyatupadukan rakyat Malaysia, tiba-tiba mahu pecah belahkan rakyat Sarawak melalui MPKKP.

“Bila kerajaan Sarawak beri peruntukan RM100 juta untuk memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dia (pemimpin Pakatan) kata ada baiknya MPKKP diwujudkan. Mereka fikir JKKK wujud tanpa perundangan yang sah?” kata Juanda.

Beliau juga bertanya peruntukan undang-undang mana untuk mewujudkan MPKKP.

Jelas Juanda lagi, selain menguruskan rumah panjang dan orang kampung, tugas JKKK, diketuai tuai rumah atau ketua kaum, juga menguruskan adat istiadat kaum, pengesahan perkahwinan, urusan kematian dan sebagainya.

“Nanti bila wujud MPKKP, apakah ia juga akan mengesahkan adat istiadat dan perkahwinan? Ini jelas mahu pecah belahkan rakyat Sarawak,” katanya.

Mengulas berhubung Belanjawan Negeri 2020 yang dibentangkan ketua menteri pada Isnin lepas, Juanda berkata belanjawan memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak.

Segala peruntukan membawa manfaat untuk rakyat dan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan telah diambil alih oleh kerajaan Sarawak, dakwa beliau.

“Belanjawan telah memberi peruntukan kepada subsidi nelayan, elektrik, air, bantuan untuk bayi dan ibu yang bersalin. Peruntukan juga disediakan untuk membantu usahawan dan petani,” katanya. — DayakDaily