Adun Daro cadang wartakan pokok nipah di sepanjang kawasan pesisir

The Sarawak Legislative Assembly (DUN) Complex in Kuching.

KUCHING, 16 Feb: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Daro Safiee Ahmad mencadangkan supaya pokok nipah yang tumbuh di sepanjang kawasan pesisir diwartakan.

Katanya, ia penting supaya pokok-pokok tersebut tidak dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan lain.

“Kawasan tersebut juga dikekalkan sebagai tanah NCR untuk komuniti di kawasan pesisir,” katanya pada Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.


Safiee berbahas bagi menyokong Rang Undang-Undang Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah 2022.

Beliau berpendapat bahawa penubuhan Lembaga Sagu dan Nipah Sarawak merupakan langkah yang proaktif.

Katanya, ini menunjukkan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kerajaan yang berpandangan jauh dan inovatif.

“Penubuhan Lembaga Sagu dan Nipah sangat signifikan kerana produk-produk sagu dan yang berasaskan nipah merupakan produk yang berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak.

“Selain itu juga, produk-produk ini kebanyakannya diusahakan oleh penduduk-penduduk tempatan sendiri di kampung-kampung atau rumah-rumah panjang secara turun-temurun,” katanya.

Pada perbahasan bagi menyokong RUU yang sama, Adun Balingian Abdul Yakub Arbi berkata terdapat sebanyak 32,000 pengusaha kecil industri sago khususnya di kawasan Pusa, Igan, Dalat, Mukah dan Balingian.

Menurut Abdul Yakub, Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) telah membangunkan kawasan seluas 1,000 hektar yang melibatkan 5,000 pengusaha kecil sago di Sebakong dan Dalat, manakala 5,812 pengusaha kecil terlibat di dalam pembangunan estet satelit sago.

“Sago merupakan satu industri bernilai tinggi dengan harga pasaran dunia tidak kurang daripada RM2,000 bagi satu tan dalam tempoh lima tahun lalu.

“Dengan masa depan yang cerah, cadangan RUU ini akan membawa Sarawak ke landasan yang tepat untuk terus membangunkan industri ini,” kata Abdul Yakub. — DayakDaily